Monday, 2 May 2016

Pengenalan Pahat

KIKIR
Sejenis alat pemotong yang selalu digunakan dalam kerja-kerja kejuruteraan terutamanya dalam operasi menggegas. Ia boleh merata serta melincinkan permukaan, membesarkan lubang, membentuk sudut dan pelbagai jenis bentuk bendakerja.
Kikir adalah sejenis alatan tangan yang diperbuat daripada keluli bermutu tinggi. Permukaan kikir dibuat dengan cara menghentakkan pahat yang dikenakan pada blank yang telah disepuh lindap terlebih dahulu. Selepas gigi kikir habis dipotong, batang kikir dikeraskan pada suhu 800 darjah celsius dan kemudiannya dilakukan penormalan dengan larutan khas. Kegunaan kikir ialah untuk memotong , menipiskan dan melincinkan permukaan sesuatu kompenan atau bendakerja. Proses memotong, menipiskan dan melincinkan ini dinamakan mengikir.

Jenis-Jenis Kikir
Untuk menghasilkan sesuatu kerja dengan tepat, cepat dan permukaan yang licin, pemilihan kikir mestilah dibuat dengan betul. Kikir-kikir berikut biasanya digunakan dalam bengkel-bengkel kejuruteraan:

a)   Kikir pipih tirus

Kikir pipih tirus digunakan dalam kerja-kerja am yang melibatkan berbagai-bagai jenis kerja yang berlainan. Gigi kikir ini dikelaskan kepada gred kasar, sederhana, halus, dan sangat halus. Pada satu permukaan kikir, giginya dipotong bersilang intan dan terdapat gigi lurus pada kedua-dua belah tepi. Dua pertiga panjangnya dari pangkal berbentuk selari dan satu pertiga panjangnya kehujung berbentuk tirus.

b)   Kikir pipih kasar
Kikir pipih kasar digunakan untuk kerja-kerja penyudahan rata. Salah satu daripada tepi kikir tersebut tidak ada gigi dan tepi ini disebut tepi selamat. Gred kikir pipih kasar terdiri daripada gred kasar hingga sangat halus.

c)   Kikir belah rotan
Kikir belah rotan atau dipanggil juga kikir separuh bulat digunakan untuk menyudahkan bahagian-bahagian yang telah siap. Gigi pada permukaan yang rata berbentuk wajik dan gigi pada permukaan yang melengkung berbentuk silang. Gigi kikir ini digredkan kepada kasar, halus dan sangat halus.

d)   Kikir bulat
Kikir bulat kadangkala disebut juga kikir ekor tikus. Gunanya ialah untuk membesarkan lubang yang berbentuk bulat dan lubang yang melengkung. Gred kikir ini terdiri daripada kasar hinggalah sangat halus. Giginya berbentuk lurus dan bersilang.

e)   Kikir segiempat sama
Kikir segiempat sama digunakan untuk membesarkan lubang yang berbentuk segiempat sama secara kasar. Kikir jenis ini juga bolih digunakan untuk mengikir lurah atau alur berbentuk segiempat sama dan juga berbagai-bagai bentuk sudut pada sesendal. Kikir ini digredkan kepada kasar hingga sangat halus.

f)   Kikir segitiga
Kikir segitiga digunakan untuk mengikir sudut-sudut dalam yang tajam. Ia juga digunakan untuk membersihkan penjuru yang bersudut. Giginya bersilang dan terdapat dalam gred kasar hingga sangat halus.

g)    Kikir pipih nipis
Kikir pipih nipis digunakan untuk mengikir celah-celah yang nipis seperti untuk memotong celah-celah pada kunci. Kikir ini tirus pada hujung tetapi tebalnya sama pada keseluruhan panjangnya. Kikir jenis ini cuma terdapat dengan panjang yang terhad iaitu 100 mm, 150 mm dan 200 mm. Giginya bersilang dan grednya dari kasar hingga sangat halus.

h)   Kikir bentuk pisau
Kikir bentuk pisau digunakan untuk menajamkan gigi-gigi yang terdapat pada gergaji dan alat-alat pemotong. Bentuknya sama seperti pisau dengan bersudut 15 darjah. Grednya pula daripada kasar hingga sangat halus.